skbbs.zoom-a.com
|

SEJARAH  SEKOLAH 

Kampung Bukit Badong terletak di dalam daerah Kuala Selangor kira-kira 5 km dari pekan Batang Berjuntai. Kampung ini dibuka pada tahun 1915. Kebanyakan peneroka kampung ini datang dari kampung di sekitarnya seperti Kampung Api-Api, Kampung Asam Jawa, Kampung Kuantan dan Kampung Bukit Kuching, Salah seorang peneroka ini telah dilantik menjadi Ketua Kampung iaitu Allahyarham Datuk Karjan b. Mat Mijan, berasal dari Tanah Jawa. Memandangkan penduduk yang semakin ramai, timbul kesedaran dalam diri Ketua Kampung untuk memberi pelajaran asas kepada anak buahnya. Allahyarham Datuk Karjan dan rakan-rakan seperjuangannya berusaha untuk mendirikan sebuah sekolah atas dasar rasa bertanggungjawab terhadap keciciran anak-anak buahnya.

Penubuhan sekolah di kampung ini bermula dengan terbinanya sebuah bangunan berdinding sekerat pada tahun 1931 di atas sebidang tanah milik Tuan Haji Osman iaitu kira-kira 1 km arah Utara dari tapak sekolah sekarang ini. Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat sekolah ini terdiri daripada kayu-kayu hutan. Tiangnya kayu bulat, lantainya daripada batang-batang balak yang digergaji menjadi papan dan atapnya pula daun nipah dan rumbia. Bangunan beratapkan nipah dan berlantaikan tanah itu dapat didirikan hasil pengorbanan Allahyarham Datuk Karjan dan rakan-rakan seperjuangannya dan dibina secara gotong-royong oleh penduduk kampung ini. Pihak kerajaan Inggeris yang memerintah pada masa itu memberi jaminan sekiranya sekolah yang didirikan oleh orang kampung itu roboh maka sekolah baru akan dibina di atas biaya kerajaan. 

Sekolah yang didirikan itu diberi nama Sekolah Melayu. Dengan terdirinya sekolah ini, anak-anak kampung sudah menerima pendidikan secara formal.Pengorbanan wang ringgit , harta benda, tenaga, dan buah fikiran penduduk Kampung Bukit Badong merupakan faktor utama kejayaan pembinaan sekolah ini. Berhampiran sekolah ini didirikan rumah Guru Besar, padang permainan dan tapak kebun sayur.

Pembukaan rasmi sekolah ini telah diadakan pada 16.3.1963. Jumlah murid yang mendaftar semasa sekolah ini dibuka seramai 88 orang termasuk seorang murid perempuan. Allahyarham En. Masoud bin Hj. Shamsudin, bekas imam kampung ini adalah bekas murid sekolah ini yang mempunyai nombor bilangan 1 di dalam buku pendaftaran murid. Tiada syarat umur yang ditetapkan bagi mereka yang berminat untuk bersekolah di sekolah ini. Ada murid yang berumur 12 tahun dan ada yang berumur 20 tahun dalam satu kelas. Manakala murid-murid pula dibenarkan berpakaian bebas. Kebanyakkan murid-murid sekolah ini datang ke sekolah tanpa berkasut dan murid lelakinya memakai songkok. Allahyarham Tuan Hj. Sidek bin Abu Bakar merupakan orang yang bertuah kerana diberi kepercayaan untuk menjadi Guru Besar yang pertama di sekolah ini.

Pada tahun 1933, dua orang guru telah didatangkan dari Sekolah Asam Jawa untuk membantu Allahyarham Tuan Hj.Sidek. Mereka ialah Allahyarham En. Hamid dan Allahyarham Encik Husain bin Hj. Siraj. Seperti yang dijanjikan, pihak kerajaan telah mendirikan sebuah bangunan baru di tapak yang ada sekarang pada tahun 1936. Bangunan yang berlantaikan tanah, beratapkan rumbia dan berdinding sekerat ini didirikan di atas bukit. Pada 19 Disember 1936, sekolah ini berpindah ke bangunan baru yang telah pun siap pembinaannya. Pada ketika itu, bilangan murid sekolah ini telah bertambah menjadi 130 orang dan tenaga pengajarnya pula seramai 5 orang. Sebelum berpindah ke sekolah baru ini sebuah bangunan tambahan telah pun didirikan di belakang sekolah pertama.

Corak pendidikan sekolah pada masa itu lebih mementingkan kemahiran membaca, menulis, dan mengira serta kerja-kerja berkebun, bertukang dan menganyam. Murid yang pandai dinaikkan ke darjah yang lebih tinggi dan yang lemah akan kekal di darjah itu. Biasanya mereka ini digelar ‘Tunggu Bangku’. Dalam usaha untuk melengkapkan peralatan sekolah ini, setiap murid dikenakan yuran (fund) sebanyak 1 sen seminggu atau 4 sen sebulan. Pada tahun 1939 pula sekolah ini telah berjaya mengadakan Sukan/Hari Ibubapa yang pertama. Kejayaan mengadakan temasya sukan ini telah terbukti kerana wujudnya semangat kerjasama dan gotong-royong yang diberikan oleh masyarakat Kampung Bukit Badong. Namun semangat yang berkobar-kobar terhenti seketika kerana kemasukan tentera Jepun ke Tanah Melayu malah telah bertapak di Kampung Bukit Badong. Sekolah ini terpaksa ditutup untuk sementara waktu kerana bangunan sekolah ini telah dijadikan Kem Tentera Jepun. Sekolah ini seperti tempat-tempat lain juga, tidak terlepas dari kesan peninggalan Jepun kerana sebahagian daripada bangunan sekolah telah dijilat api.

Sekolah ini telah berjaya mendapatkan peruntukan dari pihak RIDA ( sekarang ini MARA) untuk menyediakan kemudahan di sekolah. Peruntukan sebanyak RM5000 diberi untuk membuat dan menyiapkan sebuah padang yang lebih baik. Walaupun peruntukan ini tidak mencukupi namun dengan inisiatif penduduk kampung ini, maka sebuah padang telah dapat disiapkan pada 28 Julai 1948. Pada tahun 1953 pula, sekolah ini telah dilawati oleh satu rombongan yang terdiri daripada 17 orang guru dari Honolulu, Hawaii.

Pada tahun 1961, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyerahkan wang sebanyak RM 18 000 kepada Pengerusi Lembaga Pengurus sebagai wakil sekolah untuk membina bangunan tambahan dan bangunan lama telah diubahsuai. Bangunan ini telah dirasmikan pada tahun 1963 oleh YAB Dato’ Abu Bakar Bin Baginda. Bertitik-tolak dari sini, kemajuan demi kemajuan telah dicapai. Sekolah ini telah digunakan sebagai Sekolah Menengah Rendah sehingga tahun 1966, lebih kurang 4 tahun. Pada tahun 1973 Persatuan Ibubapa dan Guru telah ditubuhkan. Projek ANP dan Buku Hijau dimulakan pada tahun 1975. Sebuah bangunan tiga tingkat telah didirikan di atas bukit pada tahun itu juga. Bangunan yang mengandungi 10 bilik darjah, sebuah pejabat dan sebuah bilik guru ini mula digunakan pada 5 Januari 1976 dan perasmiannya telah dilakukan oleh Dato’ Hormat Rafei, Menteri Besar Selangor pada 20 April 1976.

Boleh dikatakan setiap tahun murid sekolah ini dapat melanjutkan pelajaran mereka ke sekolah berasrama penuh di sekitar Kuala Lumpur, SDAR Seremban dan Sekolah Tun Fatimah berdasarkan keputusan Peperiksaan Penilaian Darjah 5. Setelah Peperiksaan Darjah Lima diganti dengan Peperiksaan Penilaian Darjah 6, dan kini UPSR, bertambah ramai murid-murid sekolah ini yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama seperti Sekolah Menengah Sains, Sekolah Menengah Bestari, Sekolah Menengah Agama, Sekolah Yayasan Selangor, dan sekolah-sekolah di bawah tajaan MARA. Kita juga patut berbangga kerana ramai murid-murid lepasan sekolah ini telah dan sedang melanjutkan pelajaran di universiti-universiti tempatan dan luar negeri.

Semasa sekolah ini diterajui oleh En. Zamzam bin Salimun , sekolah ini telah menyambut Perayaan Jubli Emas pada 7 November 1981. Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu, YB. Dato’ Hj. Suhaimi bin Dato’ Kamaruddin telah merasmikan Perayaan Jubli Emas itu. Sambutan itu telah diadakan selama dua hari iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Acara-acara yang diadakan seperti Perasmian Tugu Perayaan Jubli Emas, persembahan murid, sukan rakyat, Pementasan Malam Gembira, gotong-royong, dan majlis makan malam.

Sekitar tahun 1990an, prasarana sekolah banyak berubah seiring dengan arus pendidikan dan pertambahan murid-murid. Selain daripada 2 buah bangunan dua tingkat yang menempatkan pejabat, bilik guru, makmal sains, bilik darjah, dan bilik-bilik khas, surau, kantin, dewan, dan bangunan Prasekolah juga telah didirikan. Padang sekolah juga telah diperbesarkan untuk keselesaan murid-murid. Rumah guru lama telah berganti dengan terbinanya 2 buah rumah guru yang terletak di hujung padang.

Sejajar dengan matlamat Kementerian Pendidikan yang hendak meningkatkan penguasaan ICT di kalangan murid sekolah rendah khususnya luar bandar, sekolah ini telah mendapat peruntukan untuk mendirikan bangunan makmal ICT pada tahun 2001. Terdapat dua bilik ICT yang dapat menampung 40 buah set komputer untuk sessi pengajaran dan pembelajaran. Pada tahun ini juga, sebuah bangunan 3 tingkat didirikan berhampiran padang untuk menampung pertambahan murid. Di bangunan ini juga telah ditempatkan sebuah pusat sumber yang lebih lengkap dan selesa.

Semenjak penubuhan Sekolah Kebangsaan Bukit Badong, sekolah ini telah diterajui oleh 15 orang guru besar. Kini, sekolah ini menjadi institusi pendidikan bagi 911 orang murid untuk mendapatkan ilmu daripada  60 orang pendidik di bawah pimpinan Encik Mohammad Khaironi bin Shamsuri  dengan bantuan 6 orang kakitangan sekolah. Sekolah Kebangsaan Bukit Badong telah berjaya memberikan pendidikan asas kepada sejumlah besar penduduk setempat selama 75 tahun.


Zoom A - Program Pembelajaran Secara Interaktif Melalui Internet Yang Tercanggih Di Malaysia

Pelawat: